ShoutMix chat widget

'Mukjizat palsu media'

| Date: Thursday, November 5, 2009 |
Ahmad Lutfi Othman ;
Media memang dianggap berpengaruh besar, malah ada yang melihatnya sebagai penentu, dalam persaingan merebut kuasa. Dalam konteks politik Malaysia, persaingan itu begitu berat sebelah, terutama apabila media tradisi dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah.

Pelbagai akta dan peraturan digubal bagi encengkam pemilik media, seterusnya 'memenjarakan' para wartawan dan editor. Seringkali faktor 3M (media, money, machinery) dianggap membantu BN mengekalkan kemenangan "di padang permainan yang tidak pernah sama rata".

Kemunculan media baru bermula dalam pilihan raya 1999 telah memecahkan hegemoni BN terutama apabila ruang maya menyediakan persaingan yang lebih saksama. Pengenalan internet secara besar-besaran pada 1997, seperti penggunaan emel dan laman web, diikuti kemudiannya oleh blog, youtube, Twitter, Facebook dan seumpamanya, bukan saja memberi peluang rakyat Malaysia untuk akses kepada kepelbagaian sumber maklumat, malah mencabar kedudukan BN yang berdekad lamanya hegemonik dalam membentuk pemikiran dan budaya politik masyarakat.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik UKM, Mohamad Nadzri Mohamed Noor (Politik Malaysia di Persimbangan, 2009) mengingatkan, merujuk tiga pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, "kita dapat melihat jatuh bangun pakatan parti oposisi meskipun mereka menggunakan dan menguasai ruang maya secara konsisten dan lebih menyeluruh berbanding BN, dan BN pula agak ketinggalan dalam penggunaan media online, namun BN tetap berupaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999 dan mencapai kemenangan terbesarnya dalam PRU 2004. Oleh itu, kempen efektif dalam ruang siber semata-mata kelihatan tidaklah memadai dalam menarik pola pengundian yang signifikan ..."

Sengaja saya tekankan hal ini memandangkan ada tanggapan daripada aktivis Pakatan Rakyat bahawa kemenangan mereka untuk pilihan raya akan datang, di zaman langit terbuka ini, agak terjamin disebabkan masyarakat semakin meninggalkan media tradisi seperti akhbar, hatta TV, dan beralih sepenuhnya kepada media baru.

"Jika media benar-benar bebas, atau kita tidak diserang bertubi-tubi oleh media yang dikawal mutlak oleh BN, nescaya rakyat akan menyokong kita," begitulah kira-kira hujah mereka.

Mereka yakin BN jauh ketinggalan dalam usaha memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat ini. Dengan itu pengundi akan mendapat maklumat lebih seimbang daripada media alternatif dan tidak mudah tertipu lagi dengan propaganda murahan BN. Mereka juga percaya bahawa sesiapa yang menguasai informasi - kini dilambahkkan dalam media baru - maka automatik ia akan menerajui kuasa.

Maka apabila Pakatan kalah dalam mana-mana pilihan raya misalnya, yang dipersalahkan adalah kegagalan jentera penerangan untuk berfungsi dengan berkesan, terutama bagi menyanggah serangan lawan, sekali gus melakukan pujukan.

Propaganda media BN pula dikatakan begitu berjaya mempengaruhi pengundi seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa hebatnya, meskipun parti itu dan calonnya bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Tukang spin dilihat berupaya menjadikan "yang hitam itu putih" pada kacamata pengundi dan membuatkan kebenaran terus tertimbus dan tidak dipedulikan.

Tidak dinafikan bahawa media (sama ada tradisi mahupun baru) perlu dikuasai selok-beloknya, bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga pengisiannya. Namun yang tidak kurang penting - malah mungkin lebih mustahak - adalah menguasai isu sebenar, merasai penderitaan rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat, menjuarai usaha membela golongan bawahan, menampilkan kualiti kepimpinan, serta membentuk keyakinan kita mampu melakukan perubahan dan tidak mengulangi kebobrokan sistem lama. Usah remehkan kemampuan rakyat untuk menilai dan menghakimi pretasi parti dan calon yang telah diberikan kepercayaan dalam pilihan raya lalu.

Benar, politik itu permainan persepsi tetapi media juga semakin sukar memikul tugas sebagai "tukang putar". Hari ini mungkin rakyat terkeliru dan tertipu dengan kelicikan media, namun ia tidak kekal lama. Kebatilan akhirnya terbongkar jua.

Justeru, jika kita tersungkur, ia bukan semata-mata diperangkap media musuh, tetapi juga berpunca dari kelemahan sendiri, yang disaksikan secara nyata oleh pengundi.

Lihat saja pilihan raya 2004 - BN tetap jauh ketinggalan dari segi penguasaan media baru tetapi kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad berjaya "menyihirkan" tanggapan umum.

Oleh itu, pertama, usah terlalu yakin dengan "sakti" media baru, dan kedua, jangan memandang rendah pihak lain yang cuba mempamerkan diri mereka sebagai "telah berubah".

Malah, dengan dakwaan hegemoni pembangkang di alam siber kian terhakis, ditambah kritikan pengkaji media - merujuk semasa kempen Bagan Pinang - bahawa Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan sebaiknya internet untuk menyanggah serangan BN, maka ia menuntut kesungguhan untuk memperbaiki kekurangan dan kealpaan itu.

Sebagai wartawan, saya lebih cenderung untuk mengingati diri tentang kelemahan dalam operasi menjuarai jihad pena ini, selain membetulkan salah tanggap ahli dan pemimpin Pakatan terhadap "mukjizat" media.

"Padang yang sama rata" pun tidak akan membawa kemenangan jika pemain tidak berketrampilan, jurulatihnya tidak kreatif dan pengurus pula tidak hiraukan kebajikan! _

sumber : Harakahdaily

PAS tak akan berpecah.

| Date: Thursday, October 29, 2009 |
Oleh: Dr Aziz Bari
Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia.

Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.
Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan.
Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO.

Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang.

Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?

Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu.Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO.

Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas.

Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi? -Abdul Aziz Bari.

sumber:Blog Dewan Ulama Pas Pahang

Tidak Boleh Ada Pertentangan Lantaran Nasab dan Warna Kulit

| Date: Sunday, October 18, 2009 |
Imam Bukhari meriwayatkan, bahwa Abu Dzar dan Bilal al-Habasyi saling bercaci-maki sampai memuncak kemarahannya. Kemudian Abu Dzar berkata kepada Bilal: Hai anaknya perempuan hitam! Mendengar ucapan itu, Bilal mengadu kepada Nabi. Maka kata Nabi kepada Abu Dzar:


"Hai Abu Dzar, apakah kau caci dia sebab ibunya? Kalau begitu sungguh kamu seorang yang masih diliputi perasaan jahiliah." (Riwayat Bukhari)

Dari Abu Dzar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadanya: 'Lihatlah, sesungguhnya engkau tidak lebih baik daripada orang yang berkulit merah dan tidak pula lebih dari orang yang berkulit hitam, melainkan kamu lebihkan dirimu dengan taqwalah.' (Riwayat Ahmad)

Dan sabdanya pula:

''Semua kamu keturunan Adam, sedang Adam dicipta dari tanah." (Riwayat Bazzar)

Dengan demikian, Islam mengharamkan setiap muslim berjalan mengikuti perasaan jahiliah, dalam persoalan menyombongkan diri karena nasab dan keturunan, karena ayah dan datuk. Seperti apa yang biasa dikatakan oleh satu sama lain: saya anak si anu, saya keturunan anu, sedang engkau asal dari keturunan anu. Saya berkulit putih sedang engkau hitam. Saya orang Arab sedang engkau bukan orang Arab.

Apa nilai keturunan ini kalau mereka itu semua juga berasal dari satu keturunan? Misalkan nasab itu mempunyai nilai, tetapi apa kelebihan seseorang atau apa pula dosanya kalau dia berasal dari keturunan ayah ini dan ayah itu?

Rasulullah pernah bersabda:

"Sesungguhnya nasab-nasabmu ini bukan menjadi sebab kamu boleh mencaci kepada seseorang; kamu semua adalah anak-cucu Adam ... Tidak ada seorangpun yang melebihi orang lain, melainkan karena agama dan taqwanya ..." (Riwayat Ahmad)

Dan sabdanya pula:

"Manusia seluruhnya berasal dari Adam dan Hawa. Sedang Allah tidak menanyaimu tentang keturunanmu dan nasabmu nanti pada hari kiamat; sesungguhnya semulia-mulia kamu di hadapan Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu." (Riwayat Ibnu Jarir)

Rasulullah s.a.w. telah menumpahkan kemarahannya kepada orang-orang yang menyombongkan diri lantaran ayah dan datuk-datuknya, dengan ungkapan yang tajam dan menggetarkan hati. Beliau mengatakan:

"Hendaklah orang-orang yang menyombongkan ayah-ayahnya yang sudah mati itu mau berhenti. Mereka yang demikian itu hanyalah bara neraka. Atau mereka itu lebih rendah di hadapan Allah daripada kumbang yang mengguling-gulingkan tahi dengan hidungnya; Allah telah menghapuskan kesombongan jahiliah dan kecongkakannya lantaran ayah. Seseorang ada yang beriman dan bertaqwa, dan ada juga yang durhaka dan celaka; manusia seluruhnya anak-cucu Adam, sedang Adam dibuat dari tanah." (Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Baihaqi dengan sanad hasan)

Hadis ini merupakan satu peringatan kepada orang-orang yang menganggap besar lantaran nenek-moyangnya dulu adalah keturunan raja-raja dan kaisar. Mereka yang demikian itu hanyalah bara neraka jahanam, seperti penegasan Rasulullah s.a.w. di atas.
Dalam Haji Wada' yang dihadiri oleh beribu-ribu manusia yang ingin mendengarkan tentang Islam di bulan haram dan di tanah haram, Rasulullah s.a.w. pernah menyampaikan pidatonya yang dikenal dengan Khuthbatul Wada' (khutbah perpisahan). Dalam khutbah itu Rasulullah menegaskan beberapa prinsip, yang bunyinya sebagai berikut:

"Hai ummat manusia! Sesungguhnya Tuhanmu hanyalah satu. Ingatlah! Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang lain Arab; tidak pula ada kelebihan bagi orang lain Arab atas orang Arab; tidak juga ada kelebihan orang yang berkulit merah atas orang kulit hitam; dan tidak pula orang kulit hitam atas orang kulit merah, melainkan lantaran taqwa, sebab sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah yang paling bertaqwa kepada Allah." (Riwayat Baihaqi)

Sekadar cerita kosong

| Date: Monday, October 5, 2009 |
Al-kisah ,ada seorang pemuda memberi sepiring makanan kepada orang yang buta . Kononya,ketika mengetahui akan hal itu ,keluarga pemuda itu berkata,

“Bukankah orang buta itu tidak tahu apa yang dimakannya.”

“Tapi bukankah Allah mengetahuinya.,”Jawab pemuda itu.

pengajaran kisah;
Selama Allah masih melihat dan mengetahui kebaikan yang anda lakukan ,serta mengetahui keutamaan yang anda hulurkan , maka janganlah mengharapkan pujian dari orang lain.
 
Copyright @ 2008 hambajahil | Design By: iEn | Best Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top